**Terus-terang aku katakan, mengarang bukanlah kekuatan aku**

Semenjak aku mula berjinak-jinak dengan dunia blogging, dari masa ke semasa aku dapati teknik dan gaya mengarang aku tidak menentu. Tidak statik dan umpama gelombang Tsunami. Ketepikan kepelbagaian kata ganti diri kerna bagi aku ada kalanya bertujuan untuk memberi "mood" yang tertentu selari dengan intipati entri. Pun begitu (cewah~), intipati entri itu sendiri yang membuatkan aku tertanya-tanya dimana punca kesilapannya.

Nak dijadikan cerita, tempohari aku ada menghadiri satu ujian. Ujian yang dikenali sebagai UPLB (Ujian Pengambilan Lantikan Baru) untuk beberapa orang individu terpilih (merangkap calon) duduki sebelum disenarai pendek menghadiri temuduga merebut jawatan sebagai Penolong Jurutera bergred JA29. Ujian dibahagi kepada 5 bahagian iaitu bahagian A, B, C, D & E. 3 bahagian pertama A, B & C dijalankan pada sebelah pagi, manakala dua bahagian lagi pada sebelah petang (Bahagian D & E). Rasanya tak perlu aku cerita dengan penuh detail ujian tersebut. Secara ringkasnya kertas sebelah pagi berbentuk objektif melibatkan pengetahuan am, daya menyelesaikan masalah (matematik) dan penguasaan kefahaman esei manakala kertas sebelah petang pulak merupakan kertas berbentuk esei; Bahasa Melayu (Bahagian D) & Bahasa Inggeris (Bahagian E). Menjawab soalan esei, membuatkan aku terkedu, tergamam, terkaku dan yang seerti dengannya. Disitu bagaikan sudah benderang lagikan terang bahawasanya aku sangat lemah dalam mengarang. Boleh dikatakan nasib baik yang aku mahir dalam mereka kata-kata yang manis bagaikan gula kapas serta bermadah helah dalam memberi contoh dan misalan. Itu sedikit sebanyak membantu aku memanjangkan karangan (seperti entri yang dibaca ini, kurang isi bukan? tapi.. nampak panjang).

Bila aku renung dan imbas semula zaman persekolahan, aku cuba mengingati semula bagaimana aku dikenalkan dengan makhluk dipanggil "karangan" tersebut. Terlintas difikiran aku akan zaman "PTS" (mana yang lahir generasi Y2K dan yang terkemudian, memang tak akan nak kenal lah dengan objek dipanggil "PTS" nie). PTS adalah Penilaian Tahap Satu yang mana diduduki oleh kanak-kanak sewaktu di darjah 3. Barangsiapa yang lulus dengan cemerlang dan jayanya, akan diberi kesempatan untuk meloncat ke darjah 5 tanpa perlu memijak walau sebelah kaki pun ke darjah 4. Aku seperti kebanyakkan yang lainnya haruslah memikirkan nilai-nilai murni dalam persahabatan dimana aku tidak sanggup berpisah dengan rakan sekelas yang ku kasihi (kononnn). Lalu kami memutuskan untuk bersama-sama mengharungi satu tahun sebagai kanak-kanak darjah 4 biarpun ada 2~3 biji lagi rakan kami yang berjaya bergaul mesra, serasa diri senior dan makan ayam goreng dikantin dengan sebelah lutut "berdiri" sambil menjeling rakan (yang sewaktu ketika dahulu seperjuangan) dengan pandangan hina lagi dina. Jujur aku kata, itu aku tokok tambah untuk memberi kesan ke atas emosi pembaca sekarang. Aku tiada mahu entri ini dibaca dengan wajah yang kusam dan sugul. Kurang-kurang, wajah yang menahan cirit yang tinggal "hujung-hujung" saja lagi pun jadilah kiranya.

Lihat sahaja entri ini, hingga ke perenggan ini aku mulai menuju ke laut. Bukan main entri ini aku garap untuk menyatakan kelemahan diri untuk dijadikan pedoman dikalangan pembaca, pun begitu, masih lagi ke laut. Intipati sungguh basi, kurang isi dan bergred C. Oleh itu, sepuluh jari aku susun memohon ampun kerna aku harus pergi sekarang jua. Tiadalah daya dan kemampuan ku lagi menahan cirit ini. Tiada juga ku mahu ianya berpeleseran meninggal jejak. Malulah aku suatu masa nanti.

Doakanlah aku berjaya untuk UPLB kerna nampak sangat yang sekarang nie aku tidak layak jadi penulis. Berblog mungkin boleh, sekadar santai-santai, ye dak? bergerak-gerak lah hamba dahulu sehingga kita berjumpa lagi, simpan (jarum yang patah) sahaja didalam peti. Ehh??
Tiada ulasan:
Catat Ulasan